TAFSIR SURAH AL-IKHLAS (1)
PENGENALAN
Surah Al-Ikhlas merupakan antara surah yang penting didalam Al-Quran. Surah Makiyyah ini berkisar tentang tauhid dan aqidatussalimah yang menjadi pancang utama sahabat terawal iaitu golongan assabiqunal awwalin. Secara umum, ayat makiyyah memfokuskan kepada elemen taabudiyyah dan kepercayaan,disulami unsur tarhib wa taghrib dimana belum lagi diperkenalkan hukum dan kewajipan peribadatan. Didalam beberapa riwayat disebut bahawa asbabunnuzul ayat ini adalah disebabkan oleh pertanyaan kaum musyrik kepada Rasulullah saw " Shiff lana rabbaka" (Jelaskan pada kami Tuhanmu,dari emas kah atau tembaga atau loyang?). Menurut hadis yang diriwayatkan oleh AtTarmiziy , ada orang musyrik yang meminta Nabi menguraikan tentang nasab Allah,maka turunlah surah ini secara tegas tentang Allah SWT.
SURAH AL-IKHLAS, SURAH TAUHID
Ayat 1 Surah al-Ikhlas ;
" Katakanlah Dia adalah Allah, Maha Esa' (1)
Ayat 1 merupakan menunjukkan pokok pangkal akidah, puncak dari kepercayaan, dan PengEsaan yang mutlak kepada Allah. Pengakuan atas ke-SatuanNya, keEsaanNya dan ketunggalanNya itulah dinamakan dengan TAUHID. Tauhid seperti yang dihuraikan oleh ulama' khalaf terbahagi tiga iaitu :
- Tauhid uluhiyyah – meyakini bahawa Allah adalah tuhan yang selayaknya disembah dan menyatakan keterikatan pada Ilah melalui taabudiyyah kepada Allah.
- Tauhid rububiyyah – meyakini bahawa Allah tuhan yang menjadikan, mengawal, mengatur,dan mentadbir alam ini.
- Tauhid asma' wa sifat – meyakini bahawa nama-nama dan sifat-sifat Allah adalah mulia dan Allah ada 99 nama yang mulia, dan 20 sifat yang mulia.
Asas aqidah inilah yang diamalikan oleh sahabat terawal rasulullah seperti Bilal Bin Rabah AlHabsyi, Sumayyah dan turut dirakam dalam Al-Quran melalui kisah Ashabul Ukhdud,ashabul yasin, Kisah masyitah. Keyakinan yang jitu meneguhkan hati dan jasad mereka untuk mengatakan " Allahuahad" walaupun dibentangi dengan seksaan dan tekanan yang mungkin tidak dapat ditahan oleh golongan mulhid atau kafiruun.
Ayat 2 surah al-ikhlas bermaksud :
"Allah itu tempat pergantungan" (2)
Ayat 2 memberi makna segala sesuatu itu Dia yang mencipta,sebab itulah maka segala sesuatu itu kepadaNya lah bergantung. Abu Hurairah mengatakan ,maksud "as-shamadu" ialah segala sesuatu memerlukan dan berkehendak kepada Allah,berlindung kepadaNya,sedangkan Dia tidak berlindung pada sesiapapun.
Abussuud dalam tafsirnya berkata " Diulangi nama Allah sehingga dua kali (ayat 1 dan 2), dengan kejelasan bahawa Dia adalah Esa dan Tunggal,Dia adalah penggantungan semua makhluk,supaya jelaslah bahawa sesuatu yang tidak mempunyai dua sifat utama itu bukanlah Tuhan. Ayat pertama menegaskan tentang keEsaanNya,untuk menjelaskan bebasnya Allah dari berbilang dan bersusun.Di ayat kedua penegasan tentang Dialah tempat bergantung,jelaslah bahawa padaNya terkumpul segala sifat kesempurnaan. Didalam kitab Perisai Bagi sekalian Mukallaf ,Sheikh Abdul Qadir Al-Mandili menyebut berkenaan keEsaan Allah : "Berkata kami kepada mengEsakan Allah taala pada ketika mengi'tiqadkan dengan petunjuk Allah Taala,bahawasanya Allah taala tunggal tiada yang bersekutu baginya" , Intaha.
KONSEP ILAH DAN RABB
Dalam memahami tauhid, perkataan ilah dan rabb yang mempunyai definisi yang berbeza mempunyai signifikannya yang rapat dengan tauhid dan aqidah. Ayat 1 dan ke 2 jelas menunjukkan keperluan kebergantungan manusia pada satu kuasa yang Maha Hebat iaitu Allah. Ianya boleh dikaitkan juga dengan sifat kebersamaan yang digalakkan oleh Allah melalui pembacaan Bismillah, sebagai tanda kebersamaan pada hurufnya "ba". Secara tidak ianya menepati konsep Ilah seperti yang disebut oleh Abu Urwah dalam kitabnya "Konsep-konsep Umum islam" iaitu tuntutan Ilah ada lima iaitu :
· Ilah sebagai tumpuan atau matlamat pengabdian
· Ilah sebagai tumpuan kecintaan
· Ilah sebagai sumber perundangan
· Ilah sebagai pemberi rezeki
· Ilah sebagai tempat perlidungan
MOTIVASI INTRINSIK DAN EKSTRINSIK
Dalam ilmu physologi dan motivasi, manusia mampu untuk mempunyai dua motivasi iaitu motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik. Menurut psikologis, motivasi ekstrinsik adalah motivasi yang diperolehi melalui unsur-unsur luaran sebagai pengiktirafan,dan ganjaran.Ianya mampu membawa kejayaan tetapi bersifat sementara,dan akan mudah kecewa tanpa ada ganjaran.
Sementara, motivasi intrinsik membawa maksud apabila seseorang digerakkan oleh motivasi dan perkara dalaman seperti matlamat (goal), keghairahan (passion) dan misi. Ia akan memastikan mereka tidak mudah terhenti dan akan mengekalkan usaha yang telah dilakukan. Begitu juga konsepnya dengan aqidah tauhid. Sirah menunjukkan sahabat awal rasulullah saw mempunyai motivasi intrinsik yang tinggi, kejituan dan keteguhan mereka tidak terungkai dengan tekanan dan ancaman duniawi. Bilal alHabsyi sanggup membiarkan dadanya ditindih batu sedang lisannya tegar menyebut 'Ahad',inilah motivasi dalaman yang datangnya dari aqidatusalimah dan tauhid yang thabat. Kerana matlamatnya dan misinya kerana Allah lah yang memberikan 'internal force' kepada jasad Bilal Bin Rabah untuk menempelak segala misi dan taktik kotor Umayah bin khalaf yang ingin mengembalikannya kepada jahiliyyah. Inilah internal strength yang hakiki bagi sekelian orang mukmin.
Bersambung...
Ahmad Asyraf Shari
Rujukan
1) Tafsir Al-Azhar Juz 30 ( Prof Hamka Amrullah)
2) Aqaid Islamiyyah (Syed Sabiq)
3) Perisai bagi sekelian mukallaf ( Sheikh Abdul Qadir Al-Mandili)
4) Konsep-konsep umum Islam (Abu Urwah)
5) Sirah Nabawiyyah ( Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat)